Friday 10 June 2011

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud)

Kita boleh memuji PAS ingin melaksanakan hukum HUDUD. Walaubagaimanapun kita perlu kaji dan selidik hukum hudud yang ingin dilaksanakan. Hukum HUDUD bukanlah perkara yang sewenangnya. Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) ini dibuat oleh kerajaan PAS.
Berikut adalah sebahagian undang-undang yang disediakan oleh kerajaan PAS.

39. Bagaimana membukti kesalahan. En. 2/91.
(1) Kecuali jika ada percanggahan dengan peruntukan yang ada dalam Enakmen ini, maka Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1991 hendaklah dipakai untuk membuktikan kesalahan-kesalahan di baawah Enakmen ini.
(2) Semua kesalahan di bawah Enakmen ini samada kesalahan hudud atau kesalahan qisos, atau kesalahan ta'zir, hendaklah dibuktikan dengan keterangan lisan atau iqrar yang dibuat oleh tertuduh.
40. Bilangan saksi
(1) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan semua kesalahan di bawah Enakmen ini melainkan zina, hendaklah sekurang-kurangnya dua orang.
(2) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan zina hendaklah tidak kurang daripada empat orang.
41. Syarat-syarat menjadi saksi
(1) Tiap-tiap orang saksi hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang akil baligh dan hendaklah seorang yang adil.
(2) Seseorang itu adalah dianggap adil jika ia menunaikan apa-apa yang disuruh oleh Islam dan menjauhi daripada dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan dosa-dosa kecil dan juga mempunyai isti'mal al-muru'ah, (perasaan dan pendirian menghormati diri).
(3) Seseorang itu adalah dianggap adil, sehingga sebaliknya dibuktikan.
42. Keadaan keterangan
(1) Untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud atau qisos, keterangan yang diberi hendaklah benar-benar terang dan tidak ada apa-apa kesamaran dan keraguan.
(2) Tiap-tiap saksi hendaklah dengan terang menyatakan bahawa dia benar-benar melihat perbuatan yang didakwakan itu dan dalam kes zina pula keempat-empat orang saksi itu hendaklah menyatakan bahawa mereka benar-benar melihat kemasukan zakar ke dalam faraj perempuan pasangan yang bersetubuh itu dengan juga hendaklah jangan ada perselisihan dan pertelingkahan di antara saksi-saksi di dalam keterangan itu.
43. Menarik balik keterangan
(1) Untuk menyebabkan hukuman hudud dikenakan kepada tertuduh setiap saksi itu hendaklah berdiri teguh di atas keterangan terhadap tertuduh itu, bukan sahaja dalam masa perbicaraan dan selepasnya, tetapi juga ketika hukuman itu dilaksanakan, kerana jika keterangan itu ditarik balik sebelum hukuman itu dilaksanakan, maka tertuduh itu tidak lagi boleh dikenakan hukuman hudud, dan jika keterangan itu ditarik balik ketika tertuduh sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(2) Dalam kes zina jika seseorang saksi itu enggan memberi keterangan, atau memberi keterangan yang berlawanan dengan tuduhan, atau memberi keterangan menyokong tuduhan itu tetapi kemudiannya menarik balik keterangan itu, yang mana dengan sebab itu bilangan saksi yang menyokong tuduhan itu menjadi kurang daripada empat orang, maka tuduhan zina terhadap tertuduh itu tidaklah terbukti, dan yang demikian tertuduh itu adalah terlepas daripada dikenakan hukuman hudud; tetapi saksi-saksi yang telah memberi keterangan menyokong tuduhan itu adalah bersalah kerana melakukan kesalahan qazaf.
44. Iqrar
(1) Sebaik-baik keterangan untuk menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya sendiri.
(2) Iqrar itu hendaklah dibuat dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di hadapan seorang pegawai kehakiman dan kemudiannya diulangi di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika perbicaraan itu mengenai kes zina maka iqrar itu hendaklah diulangi sebanyak empat kali di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan:
Dengan syarat bahawa iqrar itu hendaklah dibuat dan diulangi dengan tidak ada apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan hendaklah dengan nyatanya membuktikan secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan yang dengannya dia telah dituduh, dan dia faham bahawa dia akan dihukum kerana membuat iqrar.
(3) Iqrar itu hanyalah boleh diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang membuat iqrar itu sahaja, dan tidak boleh digunakan terhadap orang lain; dan untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah bukan satu iqrar yang ditarik balik.
45. Menarik balik iqrar
(1) Sesuatu iqrar itu boleh ditarik balik oleh tertuduh yang membuatnya pada bila-bila masa sahaja; meskipun pada ketika dia sedang menjalani hukuman.
(2) Jika sesuatu iqrar itu ditarik balik sebelum dilaksanakan hukuman ke atasnya maka tertuduh itu tidaklah lagi boleh dikenakan hukuman itu, dan jika dia menarik balik iqrar itu pada ketika dia sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(3) Jika pada bila-bila masa sebelum atau pada ketika hukuman dilaksanakan, tertuduh itu dapat melarikan diri daripada pihak yang berkuasa, maka dia hendaklah dianggap sebagai telah menarik balik iqrar itu; dan yang demikian peruntukan subsekseyn (2) hendaklah terpakai.
46. Keterangan qarinah
(1) Kecuali seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen (2) dan (3) keterangan qarinah walaupun berkaitan hendaklah tidak boleh dijadikan satu cara yang sah untuk membuktikan kesalahan hudud.
(2) Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.
(3) Dalam perkara minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, bau minuman yang didapati dalam nafas tertuduh itu atau muntahnya yang mengeluarkan arak atau sebarang minuman yang memabukkan atau apa-apa kesan darinya, atau pemerhatian Mahkamah kepada keadaan tertuduh itu bahawa dia sedang berada di dalam keadaan mabuk, hendaklah boleh diterima sebagai keterangan untuk membuktikan bahawa dia telah melakukan kesalahan syurb, melainkan jika ia dapat membuktikan sebaliknya.
47. Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud kerana saksi-saksi telah menarik balik keterangan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 43 atau kerana tertuduh itu telah menarik balik iqrarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 atau kerana keterangan saksi yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman ta'zir, dan mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.


Untuk hukuman untuk mencuri: 
“Sesiapa yang melakukan sariqah (mencuri), melainkan dalam keadaan yang dinyatakan dalam seksyen 7, hendaklah dihukum dengan hukuman hudud seperti berikut:
(a) bagi kesalahan pertama dengan dipotongkan tangan kanannya;
(b) bagi kesalahan yang kedua dengan dipotongkan kaki kirinya; dan
(c) bagi kesalahan-kesalahan yang ketiga dan berikutnya dengan dipenjarakan selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah untuk menjadikan pesalah itu sedar dan sesal.” (Bahagian I, perenggan 6)

Untuk hukuman bagi kesalahan merompak: 
“Sesiapa melakukan hirabah (merompak) hendaklah dihukum dengan hukuman hudud seperti berikut:
(a) dihukum bunuh dan selepas itu disalibkan, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dan hartanya atau harta orang lain diambil;
(b) dihukum bunuh sahaja, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dengan tidak ada apa-apa harta yang telah diambil;
(c) dihukum potong tangan kanan dan kaki kirinya, jika harta sahaja yang diambil dengan tidak menyebabkan kematian mangsa atau mencederakannya; tetapi sekiranya harta-harta diambil dan kecederaan dilakukan ke atas mangsanya, maka diyat atau irsy hendaklah dibayar sebagai tambahan kepada hukuman potong tangan dan kaki .....” (Bahagian I, perenggan 9).

Untuk hukuman bagi penzina:
“(1) Jika pesalah yang melakukan zina itu mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman rejam, iaitu dilontar dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati.
(2) Jika pesalah yang melakukan zina itu ghairu mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak seratus kali sebatan dan sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama satu tahun.” (Bahagian I, perenggan 11)
Contoh keempat ialah hukuman bagi kesalahan liwat: 
“Sesiapa melakukan kesalahan liwat, hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina.” (Bahagian I, perenggan 17)

Untuk kesalahan meminum arak: 
“(1) Syurb adalah kesalahan meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan; dan sesiapa yang melakukan kesalahan ini, sama ada dia mabuk atau tidak, dan tanpa mengira kuantiti yang diminumnya hendaklah dikenakan hukuman sebat yang tidak lebih daripada lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang daripada empat puluh kali sebatan.” (Bahagian I, perenggan 22)

Untuk hukuman bagi kesalahan murtad:
“(3) Sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad (murtad), hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya dikehendaki oleh Mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati salah.
(4) Sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka Mahkamah hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan supaya hartanya sama ada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu dirampas untuk dipegang bagi keperluan Baitul-Mal:” (Bahagian I, perenggan 23)

Sebahgian Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) yang disediakan oleh PAS.

Jika dikaji Hukum Hudud PAS tidak begitu teliti sehingga boleh menyebabkan pertikaian dalam perbicaraan dan akhirnya Keadilan tidak boleh dicapai. Bukan kita mengiingkari perintah ALLAH, tetapi penggubalan undang-undang tersebut boleh memberi impak besar terhadap pandangan ISLAM.

“Itulah hudud (had-had) Allah; janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim” 

Tujuan Post ini ditulis bukannya kerana tidak menyebelahi PAS. Cuma demi keadilan dan kebenaran itu dapat ditegakkan.

1 comment:

  1. oleh sebab itulah perbincangan berterusan mengenai enakmen jenayah hudud dan pelaksanaannya perlu diteruskan agar tiada keraguan dan tiada persoalan yang timbul akibat dari pelaksanaan hudud ini. Yang perlu dilakukan bukanlah menyekat pelaksanaan tetapi memperkemas dan memantapkan enakmen ini lalu dihujahkan dan kemudiannya dilaksanakan. Bukankah begitu?

    ReplyDelete